Positif dengan perolehan kontrak PESTECH, Kenanga Research ulangi saranan 'outperform'
KUALA LUMPUR 28 Dis - Kenanga Research mengulangi saranan 'outperform' terhadap PESTECH International Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.10 sesaham berikutan perolehan kontrak terbaharunya yang dilihat positif kepada kumpulan.
Semalam, PESTECH menerusi anak syarikat milik penuhnya, PESTECH Technology Sdn. Bhd. (PTech) meraih kontrak bernilai RM742.95 juta daripada Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB) bagi menyediakan infrastruktur baharu Automated People Mover (APM) atau dikenali sebagai Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Projek itu membabitkan penggantian kenderaan APM baharu, bekalan kuasa, sistem komunikasi dan isyarat, peralatan stesen APM, kemudahan penyelenggaraan dan peralatan.
Menurut penganalisisnya, Teh Kian Yeong, perolehan itu bukan sahaja positif dan menambah profil baharu Pestech, tetapi boleh menjadi rujukan kepada tender bagi sistem kereta api lapangan terbang di peringkat serantau pada masa hadapan.
"Setakat ini, kontrak merupakan perolehan terbesar kumpulan sejak ia disenaraikan dan boleh meningkatkan jumlah nilai projeknya daripada RM1.58 bilion pada September 2021 dan menjadikan syarikat mampan dalam tempoh 3 tahun," katanya dalam nota kajian hari ini.
Di bawah perjanjian itu, projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) menggunakan Bombardier Transportation Technology akan bermula pada Mac 2022 selama 3 tahun sehingga Mac 2025 manakala perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan akan bermula Mac 2025 hingga Februari 2034.
Bagaimanapun, Kian Yeong melihat perolehan kontrak itu berada dalam anggaran tambahan nilai projeknya kira-kira RM800 juta bagi tahun kewangan 2022 (FY22).
"Oleh itu, kami mengekalkan anggaran pendapatan FY22/FY23 tidak berubah setakat ini.
"Namun, FY22 dijangka lebih baik berbanding FY21 memandangkan beberapa projek seperti ODM dan Tatay di Kemboja dan MRT2 berada di peringkat kemajuan, dan menunjukkan margin keseluruhan yang lebih baik dalam FY22," tambahnya.
Secara keseluruhan, Kenanga Research melihat saham PESTECH dilihat sebagai niche dalam pilihan berkaitan infrastruktur yang boleh mendapat manfaat daripada projek mega yang digerakkan semula dan pasaran pembangunan infrastruktur tenaga yang berkembang pesat di China.
Setakat 11.10 pagi ini, harga saham PESTECH menokok 3.5 sen atau 4.4% kepada 83 sen dengan 13.04 juta saham diniagakan. - DagangNews.com