MRT2: Pestech Ikrar Beri Kerjasama Penuh Kepada SPRM

News - Sinar Harian Online - 29042022

KUALA LUMPUR - PESTECH International Bhd berikrar untuk memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan rasuah ke atas dua firma kejuruteraan yang terbabit dalam projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2).

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan teknologi tenaga bersepadu itu berkata anak syarikatnya, CRSE Sdn Bhd, telah melaksanakan pakej bekalan dan pengedaran tenaga bagi projek MRT tersebut.

Berikutan itu, SPRM telah memanggil CRSE sebagai salah satu kontraktor utama yang menyertai projek itu bagi membantu siasatan dan telah memberi kerjasama sepenuhnya, kata PESTECH.

"PESTECH mengamalkan standard tadbir urus korporat tertinggi dan antirasuah dalam setiap aspek di organisasinya. Malah, PESTECH turut mengingatkan semua kakitangan di segenap peringkat untuk sentiasa memerangi rasuah dalam apa juga bentuk.

"Seiring dengan ikrar itu, PESTECH komited untuk terus memberikan kerjasama penuh kepada SPRM bagi proses siasatan yang berkesan serta konklusif," kata kenyataan itu.

Pada bulan lepas, media melaporkan tindakan SPRM menahan lima individu membabitkan dua bekas pengarah dan tiga pengarah syarikat kejuruteraan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan pembinaan projek MRT bernilai lebih RM650 juta.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM atas kesalahan meminta serta menerima rasuah. - Bernama
 

Source: Sinar Harian
Back