PESTECH ada potensi berkembang di Filipina, Kenanga kekal saranan

news:dagangnews (online) 231121

KUALA LUMPUR 23 Nov - Perolehan kontrak bernilai RM156.91 juta di Filipina membolehkan PESTECH International Bhd. berkembang dengan lebih luas di negara tersebut.

Dalam nota kajian, penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong berkata, banyak peluang yang terbuka boleh direbut PESTECH memandangkan 30% atau 28 juta daripada penduduknya masih tidak mendapat akses kepada bekalan elektrik.

"Kami positif dengan perolehan kontrak baharu ini, kerana ia menunjukkan keyakinan National Grid Corp of the Philippines (NGCP) kepada keupayaan PESTECH untuk menyiapkan projek berkenaan.

"Selain itu, kami melihat begitu banyak potensi di Filipina bagi projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentaulihan (EPCC) substesen dan barisan transmisi," katanya hari ini

Semalam, PESTECH mengumumkan memperoleh kontrak daripada NGCP untuk menaik taraf substesen South Luzon yang diraih menerusi PESTECH Sdn. Bhd.

Kontrak ini terdiri daripada bahagian luar pesisir bernilai AS$23.46 juta (RM98.18 juta) manakala di bahagian darat pula bernilai 710.76 juta peso (RM58.72 juta).

Menerusi kontrak itu, PESTECH akan bertanggung mereka bentuk dan membina mengikut keperluan kontrak, melibatkan 7 komponen pencawang bebas dengan tempoh projek antara 180 hingga 600 hari.

Secara dasarnya, ia merupakan kontrak ke-6 yang diperoleh PESTECH daripada NGCP sejak 2016.

Kian Yeong berkata, perolehan kontrak baharu sepatutnya meningkatkan nilai projek kumpulan yang mana setakat akhir Jun berjumlah RM1.82 bilion serta mengekalkan pertumbuhan stabil.

Katanya, margin keuntungan sebelum cukai bagi kontrak baharu ini juga masih berada dalam julat antara 9% dan 11%.

"Secara keseluruhan, kami masih menyukai saham ini kerana ia merupakan niche dalam infrastruktur utiliti dan berpotensi mendapat manfaat daripada pemulihan projek mega di dalam negara dan pembangunan infrastruktur tenaga yang berkembang pesat dalam pasaran Indochina," jelasnya.

Oleh itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'outperform' terhadap PESTECH dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.39. 

Setakat 11.30pagi ini, saham PESTECH menokok 4 sen atau 4% kepada RM1.04  dengan 2.7 juta saham diniagakan.

Source: Dagang News (Online News)
Back